Oleh Raza Syed
London (London Post) – Sebagai wartawan yang membuat liputan tentang keselamatan antarabangsa dan geopolitik Asia Tengah, dan dengan melihat isu ini melalui lensa Kazakhstan — sebuah negara yang masih menanggung parut daripada ujian nuklear era Soviet di Semipalatinsk serta penyerahan secara sukarela arsenal senjata nuklear keempat terbesar di dunia pada era 1990-an, saya berpandangan bahawa amaran Presiden KassymJomart Tokayev mengenai peningkatan bahaya nuklear adalah amat berasas. Sejarah Kazakhstan, yang dinodai lebih 450 letupan nuklear telah mengakibatkan kehancuran alam sekitar, krisis kesihatan, dan trauma sosial yang masih berterusan, menjadi asas moral yang kukuh untuk menganjurkan pencegahan penyebaran senjata nuklear.|HINDI|THAI|ENGLISH|JAPANESE|MALAY|


Tokayev sering menyerlahkah risiko ini, khususnya dalam ucapannya kepada Perhimpunan Agung PBB, September 2025 yang lalu , yang menyaksikan beliau mengecam keruntuhan perjanjian kawalan senjata dan menyeru dialog peringkat tinggi antara negara-negara kuasa nuklear bagi mengelakkan bencana. Disember 2025 yang lalu, di Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Tokyo, beliau menegaskan sekali lagi bahawa keselamatan global tidak boleh bergantung pada pencegahan nuklear, sehubungan dengan itu, menekankan trauma bersama yang ditanggung oleh Kazakhstan dan Jepun dan mendesak tindakan pelbagai hala untuk mengurangkan ancaman nuklear. Dari perspektif Astana, kebimbangan ini bukan bersifat menggemparkan, tetapi berakar umbi pada kehampiran dan keterikatan serta kesalingbergantungan ekonomi dengan kuasa nuklear seperti Rusia dan China, serta komitmen terhadap triti seperti Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT)d an Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tengahh.

Landskap nuklear global mengesahkan amaran Tokayev, dengan peningkatan yang ketara pada tahun 2025, sekali gus meningkatkan risiko salah kira atau penggunaan secara sengaja. Laporan Tahunan 2025 Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) melaporkan sembilan negara bersenjata nuklear memiliki kira-kira 12,241 kepala peledak (warhead), dan daripada jumlah ini 9,614 berada dalam simpanan ketenteraan. Kesemua senjata ini sedang dipertingkat melalui proses pemodenan pada saat kawalan senjata kian merosot. Inventori ini, digandingkan dengan ketegangan geopolitik yang kian memuncak, menggariskan peralihan daripada era pengurangan pascaPerang Dingin kepada kemunculan semula perlumbaan senjata. The Bulletin of the Atomic Scientists mengawalkanJam Kiamatnya kepada 85 saat sebelum tengah malam pada bulan Januari 2026—yang paling hampir setakat ini—dengan merujuk pada risiko nuklear, termasuk ancaman tersirat dalam konflik yang berterusan seperti di Ukraine. Bagi Kazakhstan, yang terletak sebagai jambatan antara Timur dengan Barat, perkembangan ini mengancam kestabilan serantau, sehubungan dengan itu, menegaskan kesan yang masih ditinggalkan oleh Semipalatinsk yang telah meracuni tanah dan manusia dengan radiasi generasi demi generasi. Advokasi Tokayev, termasuk cadangan untuk Agensi Antarabangsa untuk Keselamatan dan Keselamatan Biologi, mencerminkan tindak balas pragmatik terhadap trend yang boleh disahkan ini, sehubungan dengan itu, mengutamakan usaha membina kepercayaan dan sebaliknya bukan amalan politik berisiko tinggi.
Salah satu justifikasi utama terletak pada runtuhnya kerangka kawalan senjata, yang terserlah melalui tempoh Perjanjian Pengurangan Senjata Strategik Baharu (New START) yang bakal tamat pada 5 Februari 2026—had yang terakhir dalam persetujuan persenjataan strategik antara Amerika Syarikat dengan Rusia. Keputusan Rusia untuk tidak menyertai pada tahun 2023, telah menghentikan pemeriksaan dan pertukaran data. Sementara itu A.S. memberi tindak balas yang sama; Tawaran Putin pada September 2025 lalu untuk melanjutkan had tersebut secara sukarela selama setahun masih tidak menerima apa-apa maklum balas, sekali gus mengakibatkan tiada kerangka untuk mengesahkan hal ini. Penghakisan ini, yang menyusuli tamatnya Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana pada tahun 2019 dan Perjanjian Open Skies, mewujudkan keadaan yang semakin tidak telus serta menambah risiko peningkatan ketegangan. Secara logiknya, tanpa ketelusan, kecurigaan yang dialami bersama oleh kedua-dua kuasa ini telah mendorong usaha pemodenan: SIPRI melaporkan bahawa kesemua negara bersenjata nuklear sedang mempertingkat persenjataan masing-masing, manakala Rusia dan Amerika Syarikat menguasai hampir 90 peratus kepala peledak global.
Dari sudut pandangan Kazakhstan, perpecahan ini menghidupkan kembali ketidakstabilan Perang Dingin di kawasan kejiranannya, melemahkan jaminan keselamatan yang telah menggalakkan pelucutan senjatanya. Seruan Tokayev untuk mengadakan dialog baharu, seperti yang disuarakan dalam Forum Antarabangsa Astana pada tahun 2025, menangani kekosongan ini, memberi amaran bahawa lebih 13,000 kepala peledak menimbulkan risiko penggunaan secara tidak sengaja atau penggunaan yang boleh meningkatkan tahap konfrontasi di tengah-tengah hubungan kuasa besar yang tegang. Pengalaman Kazakhstan sebagai sebuah negara pasca-Soviet yang bergantung pada norma multilateralisme menjadikan keruntuhan ini amat mengancam, sekali gus berpotensi mendedahkan Asia Tengah kepada kesan konflik proksi atau tindakan nuklear bersifat eskalatori.
Situasi paksaan nuklear Rusia dalam perang Ukraine memberikan contoh nyata berasaskan fakta tentang kebimbangan yang berasas. Konflik yang telah memasuki tahun keempat pada 2026 ini terus menampilkan isyarat nuklear yang berterusan, dengan Putin membangkitkan penggunaan senjata taktikal untuk menghalang bantuan Barat serta menempatkan kepala peledak bukan strategik di Belarus—sebuah negara bukan nuklear di bawah NPT—pada 2023, sekali gus meluaskan perimeter nuklear Rusia. Pada tahun 2025, retorik ini dipergiat lagi: Rusia menguji peluru berpandu pelayar berkuasa nuklear pada bulan Oktober, membincangkan penerusan ujian nuklear di Novaya Zemlya, dan menyemak semula doktrinnya untuk menurunkan ambang penggunaan nuklear terhadap ancaman konvensional yang disokong oleh negara-negara kuasa nuklear. Pencerobohan dron ke wilayah NATO telah meningkatkan tahap kewaspadaan Eropah, manakala penilaian Amerika Syarikat menyatakan bahawa Rusia berhasrat untuk mengenakan ‘kerosakan yang tidak dapat diterima’ ketika berdepan ancaman yang dianggap bersifat eksistensial.

Secara logiknya, keadaan ini menormalkan intimidasi nuklear dan menghakis tabu tentang penggunaannya—Nina Tannenwald seorang sarjana dalam bidan ini, telah berhujah bahawa perang tersebut telah ‘merosakkan dengan teruk’ kekangan normatif yang wujud. Bagi Kazakhstan, yang berkongsi sempadan sepanjang 7,600 kilometer dengan Rusia dan terikat melalui Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif, keadaan ini bersifat eksistensial: sebarang eskalasi boleh mencetuskan kesan radiologi yang mengingatkan kepada Semipalatinsk, sekali gus mengganggu kerjasama tenaga dan diplomasi berkecuali negara itu. Amaran Tokayev, termasuk di Kongres Pemimpin Agama Dunia dan Tradisional yang ke-8, sejajar dengan pandangan pakar bahawa kebarangkalian konflik nuklear berada pada tahap yang tinggi selama beberapa dekad, dan sehubungan dengan itu, memberi justifikasi kepada dorongan Kazakhstan untuk pengurangan eskalasi.
Perkembangan pesat arsenal nuklear China menjadi ilustrasi kedua yang sukar diketepikan. Menjelang pertengahan 2024, arsenal China telah melebihi 600 kepala peledak, meningkat daripada sekitar 300 pada tahun 2019, dengan ramalan melebihi 1,000 menjelang 2030 dan terus berkembang hingga 2035, termasuk pembentukan sistem penyampaian triad lengkap serta silo baharu di tapak seperti Lop Nur. Menurut laporan Pentagon, peningkatan ini mempelbagaikan keupayaan China dalam persaingan kuasa besar dan boleh mempercepat tercetusnya perlumbaan senjata tiga hala dengan Amerika Syarikat dan Rusia. Secara logiknya, peningkatan keupayaan mencetuskan tindakan balas, sekali gus menambah kemungkinan eskalasi secara tidak sengaja—seperti yang terserlah dalam ketegangan Asia-Pasifik pada tahun 2025 dan geseran India–Pakistan. Bagi Kazakhstan, yang berkongsi sempadan lebih 1,700 kilometer dengan China, keadaan ini dilihat sebagai ancaman langsung: ketegangan Sino-AS atau Sino-Rusia boleh melimpah masuk, sekali gus merumitkan dasar luar berbilang vektornya dan menjejaskan eksport uraniumnya.. Penegasan yang diberikan oleh Tokayev terhadap pelucutan senjata sepenuhnya, seperti yang diungkapkan dalam syarahannya di Tokyo, menangkis kecenderungan ini; beliau menyarankan langkah seperti penguatkuasaan Perjanjian Larangan Ujian Nuklear Komprehensif bagi menghentikan sebarang persiapan ujian. Aktiviti proliferasi China, termasuk eksport teknologi peluru berpandu kepada Iran dan Korea Utara, terus mengukuhkan ketidakstabilan serantau, sekali gus mengesahkan pendirian sifar toleransi Kazakhstan yang terbentuk daripada sejarah nuklearnya.

Peranan dwifungsi Kazakhstan sebagai pendokong pelucutan senjata dan pemaju tenaga nuklear aman mengukuhkan lagi kewibawaan pendirian Tokayev. Dengan menjadi tuan rumah Bank Uranium Diperkaya Rendah IAEA dan mempromosikan zon bebas senjata nuklear, Kazakhstan menjadi teladan keselamatan melalui kerjasama, bukan melalui pencegahan. Namun, rancangan domestik untuk membina loji tenaga nuklear menuntut perlindungan yang kukuh, mencerminkan pendekatan seimbang dalam suasana ketenteraan global yang semakin memuncak. Perspektif ini—daripada mangsa kepada pelindung—membolehkan Kazakhstan memberi amaran bahawa mengabaikan arus ini menimbulkan risiko mengembalikan dunia kepada politik ambang perang yang pernah meranapkan tanah airnya.
Kesimpulannya, kebimbangan Tokayev bukan sahaja berasas malah mendesak, berpaksikan kesan hitam sejarah, data empirikal dan kerentanan strategik. Penghakisan perjanjian, taktik paksaan Rusia di Ukraine, dan lonjakan persenjataan China memberikan bukti nyata tentang ancaman yang meningkat, sekali gus menuntut kebangkitan semula kerjasama pelbagai hala. Sebagai kuasa pertengahan dalam dunia yang semakin berpecah, Kazakhstan menyeru penggunaan sikap rasional: menghidupkan semula dialog, memperkukuh NPT, dan melabur dalam keamanan berbanding persenjataa. Menolak amaran ini dengan mengandaikannya sebagai sekadar diplomasi mengabaikan peristiwa besar 2025 dan Jam Kiamat yang terus berdetik—manusia berkewajipan untuk memberi perhatian dan bertindak, agar bahaya yang diramalkan Tokayev tidak menjadi sesuatu yang diluarkan kawalan dan tidak dapat dipulihkan.
Artikel ini diterbitkan kepada anda oleh London Post hasil kerjasama denga INPS Japan danSoka Gakkai International, dengan status rundingan dengan UN ECOSOC.

INPS Japan



